Tuesday, June 19, 2012





Assalamualaikum..

Orang sering mempertikaikan tujuan Pendidikan Seni Visual diajar di sekolah. Maksudnya, ke mana arah tujuannya? Apa yang boleh dilakukan dengan belajar seni? Sejauh mana seni dapat membina masyarakat? Sedangkan telah sedia termaktub Pendidikan Seni Visual yang bertukar nama dari Seni Lukis dan Pertukangan Tangan akibat dari perubahan kurikulum pada 1980an, kemudian kembali kepada Seni Visual pada 2004, telah 'establish' sebagai satu matapelajaran wajib dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat menengah..walaupun mungkin belum bisa digelar subjek teras lagi..

Entah kenapa tiba-tiba hari ini Cikgu Seni bagai ditarik-tarik untuk menitipkan sesuatu di dada skrin. Dalam pada kesibukan menjalani tugas seharian, saya terpandang suatu artikel..(yang saya kira agak lama kandungannya, tapi terluang dibaca pada hari ini).

Apakah yang kita lakukan dengan seni ?

Terdapat empat perkara penting yang kita lakukan dengan seni. Iaitu:-

> Kita menghasilkannya. 
> Kita melihatnya.
> Kita memahami bahawa seni sentiasa berada di dalam budaya.
> Kita juga membuat penilaian tentang kualiti sesebuah bentuk seni itu.


Dalam pendidikan seni visual terdapat empat bahagian yang menjadi struktur kurikulumnya iaitu,

- menghasilkan produk seni
- mengkritik seni
- sejarah seni dan
- estetika.


Aktiviti menghasilkan produk seni boleh membantu pelajar berfikir secara bijaksana tentang mencipta imej-imej visual, membantu mereka belajar mencipta imej yang mempunyai tenaga ekspresif, coherence, celik akal ( insight) dan pandai mencipta ( ingenuity).

Manakala melalui kritikan seni pula akan membantu keupayaan pelajar melihat, bukan sekadar memandang sahaja, melalui keupayaan melihat dengan teliti boleh membina kualiti yang lebih bererti tentang dunia persekitarannya yang berselerakan dengan hasil kerja-kerja seni yang formal.

Disiplin sejarah seni pula boleh membantu pelajar tentang hubungan antara karya seni atau hasil-hasil peninggalan seni dengan dimensi masa, ruang, manusia dan seniman serta pemikiran mereka seterusnya membolehkan pelajar memahami bentuk-bentuk tamadun merentasi dimensi masa dan ruang serta bangsa secara perbandingan. Tiada hasil seni yang berada dalam konteks vakum, sebahagian daripada makna yang dipancarkan menerusi karya seni bergantung kepada kefahaman dan penerimaan dalam konteks semasa atau setempat.

Disiplin estetika pula merupakan satu disiplin yang perlu diperkenalkan dalam kurikulum pendidikan seni visual, berkaitan dengan asas-asas teori untuk menilai kualiti sesuatu yang kita lihat.
Manusia adalah makhluk yang sentiasa gemar membuat penilaian. Kita akan berhujah dan memberi pendapat terhadap sesuatu nilai dan kita bersungguh-sungguh mengamalkannya. Umpamanya di dalam situasi yang ada pilihan, kita tidak langsung terus membuat keputusan membeli kain ela untuk pakaian kita, kita akan membuat pilihan demi pilihan, penilaian demi penilaian. Kadang-kadang kita akan menggunakan masa yang lama dan melawat beberapa buah kedai untuk membuat perbandingan, macam-macam kriteria kita gunakan untuk menilai dan membuat pilihan terakhir. 
Inilah situasi membuat penilaian estetika.

Memahami tentang kepelbagaian kriteria estetika boleh di aplikasi ke dalam kerja-kerja seni, yang akan merangkaikan hubungan antara makna yang hendak dilahirkan melalui bahan dan teknik, dikendalikan secara bijaksana dan teratur akhirnya lahirlah sebuah hasil seni yang mempesonakan. Yang mempesonakan itulah yang dikatakan estetika.

Mata pelajaran ini bertujuan untuk mengembangkan keupayaan pelajar menangani masalah bagi keempat-empat disiplin yang dikemukakan.

Ini adalah pandangan secara umum tentang pendidikan seni visual.

Isu Memartabatkan Mata Pelajaran Pendidikan Seni Visual
Oleh : Prof.Madya Hj. Iberahim HassanDekan Fakulti Seni dan MuzikUniversiti Pendidikan Sultan Idris.....................
Jadi di sini, usah dipertikai apa tujuannya. Ini kerana setiap matapelajaran yang diperkenalkan untuk diajar kepada anak-anak kita bisa membentuk diri bukan sahaja luaran, malahan dalaman anak-anak ini.. Jadi, jangan takut bila anak-anak kita belajar Seni kerana Seni itu indah,..walaubagaimanapun rupabentuknya dari pandangan kasar kita..

Sunday, February 12, 2012

Projek 2 in 1

Projek capan dinding oleh murid-murid di bawah bimbingan Puan Suhana bt Mohd Talib, KP PSV SK Taman Bunga Raya 1.









Friday, February 3, 2012

PENILAIAN PSV

Karya yang dihasilkan oleh murid-murid mempunyai harganya yang tersendiri. Oleh itu setiap karya perlu ada apresiasi ataupun komen berbentuk pujian atas usaha yang dilakukan oleh murid untuk menghasilkan 'masterpiece' mereka.

Penilaian dalam Pendidikan Seni Visual bukan hanya melibatkan pengujian dan pengukuran tetapi penilaian secara keseluruhan. Penilaian secara keseluruhan membolehkan murid mengabungkan kefahaman mereka kepada aspek kognitif, psikomotor dan afektif. Secara tidak
langsung, ia menitikberatkan fokus kepada perbuatan murid yang mencungkil kemahiran berfikir serta melahirkan murid yang mampu membuat keputusan.

Dari mesyuarat yang telah dijalankan, maka telah dipersetujui untuk memberikan markah bukan sahaja berdasarkan kerja semasa PKSR (kerana hasilan hanya melibatkan satu bidang sahaja) malahan guru-guru mesti membuat penilaian berdasarkan kerja murid sepanjang semester.

Maka, penilaian adalah dalam bentuk berikut:

10 % - Bidang Menggambar
10% - Bidang Membuat Corak dan Rekaan
10% - Bidang Membentuk dan Membuat Binaan
10% - Bidang Mengenal Kraf Tradisional
___________________________________________________________
20% - Sahsiah murid

(dinilai dalam P&P sepanjang semester)
___________________________________________________________
40% - PKSR
___________________________________________________________
= 100%

*Markah adalah dalam bentuk jumlah dan bukan gred semata.


Monday, January 30, 2012

Contoh Rancangan Pelajaran Harian

Boleh klik ke url bawah ni untuk melihat contoh RPH Pend Seni Visual.

MEETING OH MEETING...

Hari ini meeting PSV bagi sesi 2012 yang pertama ..Selepas tertunggak 2, 3 kali.. nak buat macam mana..Macam-macam program sekolah yang 'clash' dengan tarikh asal mesyuarat panel.

Selepas bertahun jawatan KP dipegang oleh cikgu-cikgu yang 'sangat' bertauliah..Maka tahun ini, membuka sejarah baru apabila KP dipegang oleh insan yang sememangnya layak dari segi pengalaman, seniority dan pengiktirafan ikhtisas.

Beberapa aktiviti telah dirancang termasuklah :

1. Pembinaan Laman Seni
2. Kursus Batik
3. Kursus PSV KSSR
4. Hari Tanpa Bakul Sampah (Recycle Project)
5. Program Usahasama May Asaka dari Jepun
6. Kursus Asas Pendidikan Seni Visual untuk Sekolah Rendah

Diharapkan program-program yang terancang dapat dijalankan dengan lancar dan 'menjadi' pada tahun ini. Nampaknya semua amat bersemangat terutama Puan Zai..:D
(..dan Puan Mala dengan isu 'sisik ikan'nya..)


Wednesday, January 11, 2012

Dalam UPSR mana ada PSV?

Jika dikira-kira, dalam jadual waktu kelas dari Tahun 1 hingga Tahun 6, subjek Pendidikan Seni Visual ada tertera dan dijalankan pada setiap minggu. Maknanya, matapelajaran ini merupakan salah satu daripada subjek yang penting juga. Seperti juga Pendidikan Muzik, atau Pendidikan Jasmani...

Tapi, melalui pengalaman sebagai guru PSV selama hampir 10 tahun, ada ibu bapa yang berat sungguh hendak mengeluarkan wang dari poket untuk membeli buku latihan PSV... (yang ada antaranya keluarkan RM1000 dari poket depan aje..)

Alasannya, subjek itu tidak dikira dalam markah dan gred peperiksaan. Jadi, kenapa nak buang duit untuk sesuatu yang tak pasti? Hmmm... Itu pendapat masing-masing.

Kadang-kadang bukan ibu bapa sahaja. Ada di kalangan guru juga..(bukan di sini..) yang lebih 'rela' membiarkan murid-murid hilang haknya belajar subjek itu semata-mata mengejar peningkatan gred matapelajaran teras.

Anak-anak mempunyai potensi dalam pelbagai bidang. Jangan bunuh kreativiti dan keseimbangan emosi mereka di saat mereka masih lagi bertatih mencari arah.. Renungkan..