Tuesday, June 19, 2012





Assalamualaikum..

Orang sering mempertikaikan tujuan Pendidikan Seni Visual diajar di sekolah. Maksudnya, ke mana arah tujuannya? Apa yang boleh dilakukan dengan belajar seni? Sejauh mana seni dapat membina masyarakat? Sedangkan telah sedia termaktub Pendidikan Seni Visual yang bertukar nama dari Seni Lukis dan Pertukangan Tangan akibat dari perubahan kurikulum pada 1980an, kemudian kembali kepada Seni Visual pada 2004, telah 'establish' sebagai satu matapelajaran wajib dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat menengah..walaupun mungkin belum bisa digelar subjek teras lagi..

Entah kenapa tiba-tiba hari ini Cikgu Seni bagai ditarik-tarik untuk menitipkan sesuatu di dada skrin. Dalam pada kesibukan menjalani tugas seharian, saya terpandang suatu artikel..(yang saya kira agak lama kandungannya, tapi terluang dibaca pada hari ini).

Apakah yang kita lakukan dengan seni ?

Terdapat empat perkara penting yang kita lakukan dengan seni. Iaitu:-

> Kita menghasilkannya. 
> Kita melihatnya.
> Kita memahami bahawa seni sentiasa berada di dalam budaya.
> Kita juga membuat penilaian tentang kualiti sesebuah bentuk seni itu.


Dalam pendidikan seni visual terdapat empat bahagian yang menjadi struktur kurikulumnya iaitu,

- menghasilkan produk seni
- mengkritik seni
- sejarah seni dan
- estetika.


Aktiviti menghasilkan produk seni boleh membantu pelajar berfikir secara bijaksana tentang mencipta imej-imej visual, membantu mereka belajar mencipta imej yang mempunyai tenaga ekspresif, coherence, celik akal ( insight) dan pandai mencipta ( ingenuity).

Manakala melalui kritikan seni pula akan membantu keupayaan pelajar melihat, bukan sekadar memandang sahaja, melalui keupayaan melihat dengan teliti boleh membina kualiti yang lebih bererti tentang dunia persekitarannya yang berselerakan dengan hasil kerja-kerja seni yang formal.

Disiplin sejarah seni pula boleh membantu pelajar tentang hubungan antara karya seni atau hasil-hasil peninggalan seni dengan dimensi masa, ruang, manusia dan seniman serta pemikiran mereka seterusnya membolehkan pelajar memahami bentuk-bentuk tamadun merentasi dimensi masa dan ruang serta bangsa secara perbandingan. Tiada hasil seni yang berada dalam konteks vakum, sebahagian daripada makna yang dipancarkan menerusi karya seni bergantung kepada kefahaman dan penerimaan dalam konteks semasa atau setempat.

Disiplin estetika pula merupakan satu disiplin yang perlu diperkenalkan dalam kurikulum pendidikan seni visual, berkaitan dengan asas-asas teori untuk menilai kualiti sesuatu yang kita lihat.
Manusia adalah makhluk yang sentiasa gemar membuat penilaian. Kita akan berhujah dan memberi pendapat terhadap sesuatu nilai dan kita bersungguh-sungguh mengamalkannya. Umpamanya di dalam situasi yang ada pilihan, kita tidak langsung terus membuat keputusan membeli kain ela untuk pakaian kita, kita akan membuat pilihan demi pilihan, penilaian demi penilaian. Kadang-kadang kita akan menggunakan masa yang lama dan melawat beberapa buah kedai untuk membuat perbandingan, macam-macam kriteria kita gunakan untuk menilai dan membuat pilihan terakhir. 
Inilah situasi membuat penilaian estetika.

Memahami tentang kepelbagaian kriteria estetika boleh di aplikasi ke dalam kerja-kerja seni, yang akan merangkaikan hubungan antara makna yang hendak dilahirkan melalui bahan dan teknik, dikendalikan secara bijaksana dan teratur akhirnya lahirlah sebuah hasil seni yang mempesonakan. Yang mempesonakan itulah yang dikatakan estetika.

Mata pelajaran ini bertujuan untuk mengembangkan keupayaan pelajar menangani masalah bagi keempat-empat disiplin yang dikemukakan.

Ini adalah pandangan secara umum tentang pendidikan seni visual.

Isu Memartabatkan Mata Pelajaran Pendidikan Seni Visual
Oleh : Prof.Madya Hj. Iberahim HassanDekan Fakulti Seni dan MuzikUniversiti Pendidikan Sultan Idris.....................
Jadi di sini, usah dipertikai apa tujuannya. Ini kerana setiap matapelajaran yang diperkenalkan untuk diajar kepada anak-anak kita bisa membentuk diri bukan sahaja luaran, malahan dalaman anak-anak ini.. Jadi, jangan takut bila anak-anak kita belajar Seni kerana Seni itu indah,..walaubagaimanapun rupabentuknya dari pandangan kasar kita..